Kerikam
Kerikam adalah benang logam kasar yang diperbuat daripada emas atau perak yang digunakan dalam seni tekat[1]. Perkataan kerikam berasal dari perkataan Perancis clinquant. [2] Kerikam ini merupakan bahan penting dalam seni tekat, sulaman kain dan kain sampin.
Seni tekat yang menggunakan benang kerikam ini telah berkembang di Istana Kesultanan Melayu Melaka pada awal kurun ke-15. Dengan kejatuhan kerajaan Melaka, seni tekat tersebar ke tempat-tempat lain.
Kain tekat berbenang kerikam ini mempunyai banyak kegunaannya. Ia sering digunakan bagi menghiasi pakaian kerabat diraja dan pembesar negeri dalam upacara rasmi. Selain itu ia digunakan bagi menghiasi barangan di rumah seperti tudung saji, tepak sirih, lapik pahar, sejadah, tikar peterana, alas meja, sarung bantal, tirai pintu, kepala kain langsir, dan sebagainya.
Barangan yang dihasilkan dengan menggunakan kerikam ini memerlukan masa yang panjang dan kemahiran yang tinggi. Oleh itu kos penghasilannya dan harganya juga adalah tinggi.
Bentuk kegunaan
suntingKerikam biasanya digunakan dalam beberapa bentuk, yang paling biasa adalah:-
Tekat timbul merupakan di mana benang kerikam dijahit silang di atas empulur rapat-rapat sehingga empulur tertutup sepenuhnya.
Tekat gubah tidak menggunakan empulur, sebaliknya kerikam diataur pada atas kain bagi membentuk corak sebelum dijahit kepada kain dengan menggunakan benang ijuk bagi memegang kerikam pada tempatnya.
Tekat perada pula menggunakan kertas kotak perada emas atau perak tulin yang ditebuk berkerawang dan ditampal pada kain. Sisi kertas perada pula akan disusur dengan jahitan kerikam. Kadang-kala kain bewarna atau cermin diletakkan di bawah kerawang bagi menimbulkan lagi ukiran tersebut.
Selain itu, manik dan labuci sering ditambah pada kain tekat sebagai hiasan tambahan untuk menjadikan kain tekat yang terhasil bertambah cantik dan menarik.
Penjagaan kerikam
suntingTekat yang menggunakan kerikam juga memerlukan penjagaan rapi. Oleh kerana ia merupakan benang logam yang mempunyai permukaan yang luas, ia boleh berkarat atau teroksida dan menjadi kusam. Oleh itu kain sulaman kelingkam ini amat sensitif dengan kelembapan dan ia boleh rosak dengan mudah.
Sulaman atau tekatan yang menggunakan kerikam perlu dielakkan dari kelembapan, oleh itu ia perlu dijauhi daripada air.Sekiranya tidak, kerikam akan menjadi kusam kehitaman dan tidak menarik.
Ia juga perlu dielakkan dari di jemur tengah panas matahari bagi mengelak kerikam menjadi dawas atau pudar.
Rujukan
sunting- ^ "Carian Umum - Kerikam". prpm.dbp.gov.my. Dicapai pada 2020-11-17.
- ^ Rupa & rupa gaya busana Melayu, oleh Azah Aziz, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia - ms 128