Menara Juche (주체사상탑, Juchesasangtap) adalah sebuah monumen di Pyongyang, Korea Utara yang telah dibina pada 1982. Menara ini terletak di tebing sebelah timur Sungai Taedong, bertentangan Lapangan Kim Il Sung. Koordinat geografinya ialah 39°1′3.52″N, 125°45′48.05″E. Menara ini telah dibina bagi memperingati hari lahir Kim Il Sung yang ke-70 dan anaknya, Kim Jong-il telah mengaku merekabentuk menara ini.

Menara Juche, Pyongyang

Menara setinggi 170 meter (560') ini merupakan sebuah struktur empat sudut yang meruncing, yang mengandungi 25,550 ketul batu putih (365 × 70, setiap satu untuk satu hari dalam kehidupan Kim Il Sung), dengan 70 lapisan jangkatolok dan ditutupi dengan sebuah obor besi yang bercahaya setinggi 20 meter di atas. Pelawat boleh menaiki menara tersebut.

Bersama menara ini terdapat sebuah tugu setinggi 30 meter yang menonjolkan seorang wanita dan lelaki yang menggenggam tinggi sebuah tukul, sabit dan berus untuk menulis. Tukul melambangkan para pekerja, sabit untuk petani, dan berus untuk para cendekiawan yang bekerja. Terdapat enam lagi kumpulan tugu yang kecil, setiap tugu setinggi 10 meter yang melambangkan pelbagai aspek ideologi Kim Il Sung. Berdekatan dengan menara ini adalah dinding yang dipenuhi dengan 82 buah logam peringatan yang menandakan persahabatan, yang diberi oleh rakan-rakan luar negara. Di keliling menara terdapat ciri-ciri pavilion dan air. Menara ini merupakan tempat berjumpa paling popular untuk rakyat Korea Utara.

Menara ini dinamakan sempena ideologi juche, yang dirumuskan oleh Kim Il Sung sebagai gabungan prinsip-prinsip autarki, iaitu membina ekonomi negara yang mampu diri, kepercayaan kepada diri sendiri, cara penghidupan tradisional Korea dan Marxisme. Nama menara ini sering diterjemahkan sebagai Menara Ideologi Juche.


Pautan luar

sunting