Daerah Bintulu
Daerah Bintulu | |
---|---|
Koordinat: 3°00′00″N 113°20′00″E / 3.0°N 113.33333°EKoordinat: 3°00′00″N 113°20′00″E / 3.0°N 113.33333°E | |
Negara | Malaysia |
Negeri | Sarawak |
Bahagian | Bahagian Bintulu |
Pihak berkuasa tempatan | Lembaga Kemajuan Bintulu |
Pentadbiran | |
• Pengerusi Kawasan | Datu Haji Muhamad Yakup Kari |
• Pegawai daerah | Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan |
Keluasan | |
• Jumlah | 1,990 km2 (770 batu persegi) |
Penduduk (2020) | |
• Jumlah | 178,646 |
• Kepadatan | 90/km2 (230/batu persegi) |
Zon waktu | UTC+8 (MST) |
Poskod | 97xxxx, 98xxxx |
Laman sesawang | bintulu |
Daerah Bintulu (Cina: 民都鲁县; Jawi: داءيره بينتولو ) ialah sebuah daerah di wilayah Sarawak, Malaysia.[1][2] Daerah ini adalah sebahagian daripada Bahagian Bintulu yang merangkumi Bintulu, Sebauh dan Tatau.[3]
Jumlah penduduknya ialah seramai 178,646 orang pada tahun 2020. Majoriti penduduk yang tinggal di daerah ini beretnik Iban.[4] Pekan pentadbiran bagi daerah ini ialah Pekan Bintulu. Daerah ini juga memiliki luas sebanyak 1,990.88 kilometer persegi.[5]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Daerah Bintulu direkodkan telah wujud sejak tahun 1945 selepas pelantikan pegawai daerah Bintulu yang pertama iaitu P.H. Buxton.[6] Daerah ini kemudiannya dinaik taraf kepada sebuah bahagian yang baharu, iaitu Bahagian Bintulu pada tahun 1987.
Pada masa itu, keluasan daerah Bintulu merangkumi daerah Tatau dan Sebauh di mana kedua-duanya merupakan daerah kecil di bawah daerah Bintulu. Setelah pembentukan Bahagian Bintulu, keluasan daerah Bintulu semakin berkurangan seperti sekarang apabila daerah kecil Tatau dinaik taraf kepada sebuah daerah penuh pada 1989, dan daerah kecil Sebauh dinaik taraf kepada sebuah daerah penuh pada tahun 2015.[7]
Pentadbiran
[sunting | sunting sumber]Daerah Bintulu terletak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Bintulu yang merupakan sebahagian daripada pentadbiran Bahagian Bintulu. Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir daerah ini pula ialah Lembaga Kemajuan Bintulu.
Politik
[sunting | sunting sumber]Daerah Bintulu diletakkan di bawah tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Jepak (N67), Tanjong Batu (N68) dan Samalaju (N70) yang terletak di bawah kawasan Parlimen Bintulu (P217).
Geografi
[sunting | sunting sumber]Daerah Bintulu terletak di tengah negeri Sarawak, dan di utara bahagian Bintulu. Daerah Bintulu bersempadan dengan daerah Subis di timur laut, daerah Sebauh di timur, daerah Tatau di selatan dan Laut China Selatan di barat.
Daerah Bintulu mempunyai keluasan kira-kira 1,990 kilometer persegi dan mempunyai titik tertinggi mencecah 634 meter. Bentuk muka bumi daerah ini kebanyakannya merupakan kawasan rata dan mendatar manakala di bahagian utara dan selatan daerah ini merupakan kawasan berbukit. Antara sungai utama yang mengalir di daerah ini termasuklah Sungai Kemena.
Taman Negara Similajau terletak di utara daerah ini dan merangkumi kawasan pantai sepanjang 40 kilometer. Taman ini merupakan habitat kepada 185 spesies burung dan 24 spesies mamalia.[8]
Demografi
[sunting | sunting sumber]Tahun | Pend. | ±% |
---|---|---|
1970 | 38,712 | — |
1980 | 54,800 | +41.6% |
1991 | 86,132 | +57.2% |
2000 | 139,012 | +61.4% |
2010 | 183,402 | +31.9% |
2020 | 178,646 | −2.6% |
Sumber: [9] |
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Bintulu ialah seramai 178,646 orang dengan kepadatan penduduk 90 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk sederhana padat. Bancian ini juga merekodkan sejumlah 42,791 isi rumah dengan 46,979 tempat kediaman. Majoriti penduduk di daerah Bintulu merupakan Bumiputera selain Melayu, dengan majoriti antara mereka berbangsa Iban. Penduduk berbangsa Cina membentuk kumpulan kedua terbesar diikuti penduduk berbangsa Melayu. Penduduk bukan warganegara terdiri daripada 16,006 orang.[10][11]
Status | Bangsa | Jumlah |
---|---|---|
Warganegara | Melayu | 24,535 |
Bumiputera lain | 103,941 | |
Cina | 33,326 | |
India | 287 | |
Lain-lain | 551 | |
Bukan warganegara | - | 16,006 |
Jumlah | 178,646 |
Agama
[sunting | sunting sumber]Di daerah Bintulu, agama Kristian merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan 59 peratus diikuti agama Islam sebanyak 32 peratus. Sebanyak hampir tujuh peratus penduduk beragama Buddha. Penduduk beragama Hindu dan lain-lain serta tidak beragama membentuk kumpulan minoriti.
Agama | Jumlah |
---|---|
Kristian | 104,771 |
Islam | 58,255 |
Buddha | 11,742 |
Tidak diketahui | 1,672 |
Tidak beragama | 1,136 |
Lain-lain | 723 |
Hindu | 347 |
Jumlah | 178,646 |
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Toponymic Guidelines for Map and Other Editors for International Use" [Dokumen Toponimi Bagi Editor Peta Dan Lain-Lain Untuk Kegunaan Antarabangsa] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Malaysia: Jawatankuasa Kebangsaan Nama Geografi. 2017. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2021-05-23. Dicapai pada 22 Mei 2021.
- ^ "Ini nama daerah, bahagian di Sarawak: Mohon permit pergerakan rentas daerah". sarawakvoice.com. Sarawak Voice. 7 Mei 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-05-31. Dicapai pada 31 Mei 2021.
- ^ M. Mohizah, S. Julia and W. K. Soh (2006). A Sarawak Gazetteer [Gazetir Sarawak] (PDF). Jabatan Hutan Sarawak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia. ISBN 983-2181-86-0. OCLC 85818866. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 27 Julai 2011. Dicapai pada 18 Mei 2021.
- ^ "Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, Jadual Mukim Sarawak" (PDF). statistics.gov.my (dalam bahasa Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. 2010. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2012-02-27. Dicapai pada 10 Disember 2014.
- ^ "Peta Keluasan Bahagian Bintulu". bintulu.sarawak.gov.my (dalam bahasa Inggeris). Pentadbiran Bahagian Betong. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-07-20. Dicapai pada 16 Jun 2021.
- ^ "Profail Pejabat Daerah Bintulu - Portal Rasmi Pentadbiran Bahagian Bintulu". bintulu.sarawak.gov.my. Dicapai pada 2024-11-03.
- ^ "Pengenalan - Portal Rasmi Pentadbiran Bahagian Bintulu". bintulu.sarawak.gov.my. Dicapai pada 2024-11-04.
- ^ "Similajau National Park - Sarawak Forestry Corporation". sarawakforestry.com (dalam bahasa Inggeris). 2020-11-24. Dicapai pada 2024-11-04.
- ^ "Key Findings of Population and Housing Census of Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
- ^ a b "MyCendash-Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". dosm.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-12-16.
- ^ "Indikator Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Pihak Berkuasa Tempatan" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-253-697-0. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2023-07-24. Dicapai pada 2023-07-24.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Pentadbiran Bahagian Bintulu. Dicapai pada 21 Februari 2021.