Mozambique
Rencana ini mungkin boleh dikembangkan melalui teks yang diterjemah daripada rencana yang sepadan dalam Wikipedia Bahasa Portugis. (April 2024)
Klik [tunjuk] pada sebelah kanan untuk melihat maklumat penting sebelum menterjemahkan.
|
Republik Musambiki ريڤوبليك موسمبيكي República de Moçambique | |||||
---|---|---|---|---|---|
| |||||
Lagu kebangsaan: Pátria Amada ”Tanah Air yang Dicintai” | |||||
Ibu negara dan bandar terbesar | Maputo 25°57′S 32°35′E / 25.950°S 32.583°E | ||||
Bahasa rasmi | Bahasa Portugis | ||||
Bahasa lain diiktiraf | Bahasa Swahili Bahasa Mwani Bahasa Cewa Bahasa Tsonga | ||||
Agama (2020)[1] | |||||
Kerajaan | Republik berperlembagaan kesatuan berpresiden separa[2][3][4] | ||||
• Presiden | Filipe Nyusi | ||||
Adriano Maleiane | |||||
Badan perundangan | Perhimpunan Republik | ||||
Pembentukan | |||||
1 Mac 1498 | |||||
25 Jun 1975 | |||||
• Dimasukkan ke PBB | 16 September 1975 | ||||
1977 - 4 Oktober 1992 | |||||
• Penggubalan perlembagaan baharu | 21 Disember 2004 | ||||
Keluasan | |||||
• Jumlah | 801,590 km2 (309,500 bt2) (ke-35) | ||||
2.2 | |||||
Populasi | |||||
• Perkiraan 2024 | 34,868,402[5] (ke-45) | ||||
28.7/km2 (74.3/sq mi) | |||||
KDNK (PPP) | 2023 | ||||
• Jumlah | ▲ USD53.710 bilion[6] (ke-121) | ||||
▲ USD1,584[6] (ke-187) | |||||
KDNK (nominal) | 2023 | ||||
• Jumlah | ▲ USD21.936 bilion[6] (ke-128) | ||||
▲ $647[6] (ke-185) | |||||
Gini (2014) | 54.0[7] tinggi | ||||
HDI (2021) | ▼ 0.446[8] rendah · ke-185 | ||||
Mata wang | Metical Mozambique (Mtn) ( MZN ) | ||||
Zon waktu | UTC+2 (CAT) | ||||
• Musim panas (DST) | UTC+2 (tidak terpakai) | ||||
Arah memandu | kiri | ||||
Kod panggilan | 258 | ||||
DPT internet | .mz | ||||
Laman sesawang rasmi www | |||||
| |||||
Anggaran untuk negara ini secara terang-terangan mengambil kira kesan kematian berlebihan akibat AIDS; ini boleh mengakibatkan jangka hayat yang lebih rendah, kadar kematian dan kematian bayi yang lebih tinggi, populasi dan kadar pertumbuhan yang lebih rendah, dan perubahan dalam taburan populasi mengikut umur dan jantina daripada yang diharapkan. |
Musambiki (Portugis: Moçambique disebut [musɐ̃ˈbikɨ terdekat mu.sang.bi.ki]; Chichewa: Mozambiki ; Swahili: Msumbiji ; Tsonga: Muzambhiki , bahasa Inggeris: Mozambique ) ialah sebuah negara yang terletak di Afrika Tenggara bersempadan dengan Lautan Hindi di sebelah timur, Tanzania di utara, Malawi dan Zambia di barat laut, Zimbabwe di sebelah barat, dan Eswatini dan Afrika Selatan di barat daya. Negara berdaulat ini dipisahkan dari Comoros, Mayotte dan Madagascar oleh Selat Musambiki di sebelah timur. Negara ini pernah suatu ketika dahulu dijajah oleh Portugal. Musambiki satu-satunya negara yang bukan di bawah jajahan Britain tetapi menyertai pertubuhan Komanwel pada tahun 1995. Ibu negaranya dan bandar terbesar ialah Maputo.
Salah satu perkara menarik tentang negara ini ialah bendera rasminya kerana ia satu-satunya negara di dunia yang mempunyai lambang senjata moden iaitu senapang AK-47 dengan bayonet di hujung senapangnya.[9] Jenama AK-47 dipilih kerana hubungan rapat negara ini dengan blok Komunis dan ia melambangkan perjuangan negara untuk kemerdekaan yang berterusan dan kekuatan pertahanannya.
Musambiki dikurniakan dengan sumber semula jadi yang kaya dan pelbagai. Ekonomi negara banyak bergantung pada pertanian, tetapi sektor industri juga semakin berkembang, terutamanya makanan dan minuman, pembuatan kimia dan pengeluaran aluminium dan petroleum. Dari segi pelombongan, walaupun ia tidak kaya dengan emas dan berlian, negara ini kaya dengan arang batu dan batu permata terutamanya batu delima yang ditemui dengan banyak sekali di barat Montepuez pada tahun 2009. Negara ini mempunyai gas asli yang banyak dan mempunyai rizab gas asli ke-14 terbesar di dunia.[10] Sektor pelancongan juga semakin berkembang walaupun tidak sebesar sektor pertanian dan industri. Afrika Selatan adalah rakan dagang utama Musambiki dan sumber pelaburan langsung asing, sementara Belgium, Brazil, Portugal dan Sepanyol juga antara rakan ekonomi terpenting di negara ini. Sejak tahun 2001, pertumbuhan purata KDNK tahunan Musambiki adalah antara yang tertinggi di dunia. Namun, negara ini masih merupakan salah satu negara termiskin dan paling terbelakang di dunia, dan ia berada di peringkat rendah dari segi KDNK per kapita, pembangunan manusia, ukuran ketidaksamaan dan purata jangka hayat. Dari segi ekonomi, negara ini dikategorikan sebagai negara pendapatan rendah dan berada di tangga 44 daripada 54 negara di benua Afrika.
Kini Musambiki sedang bergolak terutamanya di utara negara ini disebabkan pemberontakan yang dilancarkan oleh puak yang bersekongkol dengan gerakan DAESH. Serangan di wilayah utara itu juga sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,300 orang, selain mengakibatkan lebih daripada 250,000 penduduk di sana terpaksa berpindah ke wilayah lain. [11]
Penamaan
[sunting | sunting sumber]Negara ini dinamakan sempena Pulau Musambiki yang terletak di utara negara tersebut sempena pelayar dan pedagang Arab pertama yang menemukan pulau ini iaitu Musa bin Malik Mbiki (Arab: موسى بن مالك مبيكي ).[12] Pihak Portugis memanggil pulau ini “Tanah Musa ibn Bique” dan kemudiannya disingkatkan dalam bahasa mereka menjadi Moçambique .[13] Bandar di pulau ini telah dijadikan ibu kota jajahan Portugis hingga tahun 1898, apabila ia dipindahkan ke selatan ke Lourenço Marques (sekarang Maputo).
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Penghijrahan masyarakat Bantu ke Musambiki bermula seawal abad ke-4 SM.[14] Dipercayai antara abad pertama hingga ke-5 Masihi, gelombang migrasi dari barat dan utara berlaku melalui lembah Sungai Zambezi dan secara beransur-ansur bergerak ke kawasan dataran tinggi dan pesisir Afrika.[15] Mereka membentuk suatu masyarakat berasaskan pertanian yang bertumpukan penggembalaan lembu, serta membawa teknologi peleburan dan pertukangan besi.
Ketibaan Portugis dan campur tangan awal
[sunting | sunting sumber]Ketika penjelajah Portugis sampai di Musambiki pada tahun 1498, penempatan perdagangan Arab telah wujud di sepanjang pantai dan pulau-pulau terpencil selama beberapa abad. Dari sekitar tahun 1500, pos perdagangan dan kubu Portugis menggantikan hegemoni komersial dan ketenteraan Arab, menjadi pelabuhan panggilan biasa di laluan laut Eropah yang baharu ke timur, iaitu langkah pertama ke arah proses penjajahan. Pelayaran Vasco da Gama di sekitar Tanjung Harapan pada tahun 1498 menandakan mulanya campur tangan Portugis dalam perdagangan, politik, dan sosial di rantau ini. Orang Portugis menguasai Pulau Musambiki dan bandar pelabuhan Sofala pada awal abad ke-16, dan pada tahun 1530-an, sekumpulan kecil pedagang dan peneroka emas Portugis telahmenembusi kawasan pedalaman, di mana mereka mendirikan garisun dan pos perdagangan di Sena dan Tete di Sungai Zambezi dan berusaha mendapatkan kawalan eksklusif terhadap perdagangan emas.
Di bahagian tengah wilayah Musambiki, pihak Portugis berusaha untuk mengesahkan dan menggabungkan kedudukan perdagangannya dan jalan penyelesaian yang diambil adalah melalui penciptaan sistem prazo. Pemberian tanah ini mengikat para pendatang ke penempatan mereka, dan Musambiki di pedalaman sebahagian besar dibiarkan untuk ditadbir oleh prazeiro, pemegang geran, sementara pihak berkuasa pusat di Portugal memusatkan penggunaan langsung kekuasaan mereka, pada pandangan mereka, harta Portugis yang lebih penting di Asia Amerika.
Musambiki cukup terkenal dengan perdagangan hambanya dalam kalangan orang Eropah sejak dahulu lagi. Penguasa dan ketua Afrika berurusan dengan orang-orang yang diperhambakan, pertama dengan pedagang Muslim Arab, yang menghantar hamba-hamba abdi ke kota-kota dan perkebunan Asia Timur Tengah, dan kemudian dengan pedagang Portugis dan Eropah yang lain. Dalam kesinambungan perdagangan, hamba telah dibekalkan oleh penguasa Afrika yang berperang, yang menyerang puak musuh dan menjual tawanan mereka kepada prazira atau pemilik estet prazo.
Kewibawaan prazeiro dilaksanakan dan ditegakkan dalam kalangan penduduk tempatan oleh tentera dari orang-orang yang diperhambakan ini, yang anggotanya dikenali sebagai Chikunda. Penghijrahan berterusan dari Portugal berlaku pada tahap yang secara relatifnya rendah hingga akhir abad kesembilan belas, mendorong kepada "Afrikanisasi". Walaupun prazo pada mulanya dimaksudkan untuk diadakan hanya oleh penjajah Portugis, melalui perkahwinan dan pengasingan prazeiro dari pengaruh Portugis yang berterusan, semakin banyak prazo telah dimiliki bangsa Afrika-Portugis atau Afrika-India.
Walaupun pengaruh Portugis secara beransur-ansur berkembang, kekuasaannya terbatas dan dilaksanakan melalui individu peneroka dan pegawai yang diberi autonomi yang luas. Portugis dapat merampas sebahagian besar perdagangan pesisir pantai dari Muslim Arab antara tahun 1500 dan 1700, tetapi, dengan kejayaan pihak Muslim Arab mengambil semula kubu utama Portugal di Fort Jesus di Pulau Mombasa (sekarang di Kenya) pada tahun 1698, pengaruh Portugal menjadi semakin berkurangan di Musambiki. Akibatnya, kerajaan di Lisbon kurang memberi perhatian kepada rantau ini dan lebih banyak pelaburan tertumpu di negara yang lebih menguntungkan seperti India dan Timur Jauh dan juga Brazil..
Penjajahan Portugis
[sunting | sunting sumber]Dari tahun 1894 wilayah yang dikenali sebagai Afrika Timur Portugis mempunyai bentuk yang jelas pada peta Eropah. Sempadan barat dan selatannya dikenakan ke atas Portugal pada tahun 1891 dalam perjanjian dengan jiran penjajah yang lebih kuat, Britain. Di perbatasan utara, dengan Afrika Timur Jerman, dipersetujui secara damai pada tahun 1894. Kenyataan di lapangan sama sekali tidak kemas dan konklusif. Di wilayah pesisir yang panjang dan bervariasi ini, banyak ketua dan syekh tempatan memerintah negeri-negeri yang aman, di mana Portugis tidak dapat kuasai dengan mudah. Kegiatan Portugis terhad kepada perdagangan dan mengumpulkan ufti di beberapa kawasan pantai, yang mana Lourenço Marques dan Musambiki adalah yang paling penting.
Portugal telah melancarkan kempen ketenteraan secara berturut-turut untuk cuba memperluaskan jajahan kolonialnya ke kawasan pedalaman. Tetapi kaedah utamanya untuk mengeksploitasi potensi wilayah ini adalah dengan memberikan sebidang tanah besar kepada syarikat komersial yang disewa khas untuk tujuan tersebut – yang mirip dengan Syarikat Afrika Selatan British milik Cecil Rhodes yang beroperasi di Rhodesia yang berdekatan. Yang terbesar antaranya adalah Syarikat Musambiki, yang dibentuk pada tahun 1891. Menggunakan penduduk Afrika sebagai buruh kontrak (yang tidak banyak perbezaannya dengan buruh kasar), syarikat ini mengembangkan ladang lombong dan gula dan kopra. Ia juga membina sistem rangkaian keretapi untuk menghubungkan Musambiki dengan wilayah Syarikat Afrika Selatan British Rhodes di sebelah barat dan dengan Pelindung Afrika Tengah Britain di sebelah barat laut. Menjelang akhir Perang Dunia I, di mana Portugal berperang bagi pihak bersekutu, penguasaan kolonial telah dibuat di seluruh Afrika Timur Portugis. Wilayah itu dibahagikan, bagaimanapun, kepada dua bahagian. Salah satunya adalah jajahan di bawah pentadbiran Lisbon. Yang lain pula berada di bawah bidang kuasa syarikat, dengan Syarikat Musambiki mengendalikan daerah Manica tengah dan Sofala di sepanjang Sungai Zambezi. Apabila piagam syarikat berakhir, pada tahun 1942, wilayah-wilayah ini digabungkan semula dengan jajahan.
Sementara itu, terdapat pergolakan besar dalam pemerintahan Portugal. Pada tahun 1933, António Salazar menerapkan kediktatoran sayap kanan, yang menamakan Portugal sebagai Estado Nova atau Negara Baharu. Salazar, seorang imperialis yang komited, telah mendorong migrasi ribuan peneroka Portugis ke Musambiki pada tahun-tahun selepas Perang Dunia II. Dengan faedah ekonomi dan pekerjaan terbaik yang disediakan untuk peneroka kulit putih, dan dengan sekatan hukuman yang dikenakan terhadap penduduk kulit hitam tempatan keadaan ini telah mencetus kempen gerila yang menuntut untuk mendapatkan kebebasan. Ini berlaku pada tahun 1962 dengan terbentuknya gerakan Marxis yang ditubuhkan oleh orang buangan Musambiki yang berada di Tanganyika. Diketuai oleh Eduardo Mondlane, gerakan ini diberi nama Frelimo - singkatan untuk Frente de Libertação de Moçambique (Barisan Pembebasan Musambiki). Frelimo memulakan kempennya di Musambiki utara pada tahun 1964, dengan melancarkan pemberontakan selama sedekad. Kediktatoran Portugis bertindak balas dengan usaha ketenteraan besar, menghantar sejumlah besar tenteranya dari Portugal. Tetapi pergerakan gerila sukar dibendung (walaupun Mondlane telah dibunuh pada tahun 1969). Menjelang tahun 1974 Frelimo menguasai seluruh bahagian utara jajahan dan bergerak menuju ke selatan.
Perang Pembebasan (1961-1974)
[sunting | sunting sumber]Ketika ideologi komunis dan semangat anti-kolonial tersebar di seluruh Afrika, banyak gerakan politik bawah tanah didirikan untuk menyokong kemerdekaan Musambiki. Pergerakan ini mendakwa bahawa kerana dasar dan rancangan pembangunan terutama dirancang oleh pihak berkuasa untuk kepentingan penduduk Portugis Musambiki, sedikit perhatian diberikan kepada integrasi suku Musambiki dan pengembangan masyarakat asalnya.
Menurut pernyataan rasmi gerila, ini mempengaruhi sebahagian besar penduduk pribumi yang mengalami diskriminasi yang ditaja oleh negara dan tekanan sosial yang sangat besar. Ramai yang merasakan mereka mendapat peluang atau sumber daya yang terlalu sedikit untuk meningkatkan kemahiran mereka dan memperbaiki keadaan ekonomi dan sosial mereka ke tahap yang setanding dengan orang Eropah. Secara statistik, orang kulit putih Portugis Musambiki memang lebih kaya dan lebih mahir berbanding majoriti orang kulit hitam. Sebagai tindak balas terhadap gerakan gerila, pemerintah Portugis dari tahun 1960-an dan terutama pada awal tahun 1970-an memulai perubahan secara beransur-ansur dengan perkembangan sosioekonomi dan dasar egaliter baharu.
Parti Frelimo memulakan kempen gerila menentang pemerintahan Portugis pada bulan September 1964. Konflik ini - bersama dengan dua negara yang lain telah dimulakan di jajahan Portugis lain iaitu di Angola dan Guinea Portugis (kini Guinea-Bissau) - menjadi sebahagian daripada apa yang disebut Perang Koloni Portugis (1961–1974). Dari sudut ketenteraan, tentera tetap Portugis tetap mengawal pusat-pusat penduduk sementara pasukan gerila berusaha untuk melemahkan pengaruh mereka di kawasan luar bandar dan suku di utara dan barat. Sebagai sebahagian daripada tindak balas mereka terhadap FRELIMO, pemerintah Portugis mulai memberi perhatian lebih kepada mewujudkan keadaan yang baik untuk pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi.
Sementara itu, rejim di Lisbon bertindak balas dengan cara yang sama terhadap penindasan di Angola dan Guinea Portugis (kini Guinea-Bissau). Dasar ini merupakan faktor utama untuk memprovokasi kudeta tentera pada tahun 1974 yang telah menumbangkan regim Estado Novo yang dimulakan oleh Salazar. Ia juga membawa perubahan segera di jajahan Portugis di Afrika. Pemerintahan baharu di Lisbon enggan menyokong empayar Portugal yang menjadi liabiliti dan menelan belanja yang tinggi. Semua jajahan Portugis di Afrika dengan cepat telah diberikan kemerdekaan. Guinea Portugis adalah yang pertama, pada bulan September 1974 yang kemudiannya dinamakan Guinea-Bissau. Ia disusuli Afrika Timur Portugis pada bulan Jun 1975, dengan mengambil nama baharu Musambiki. Republik Cape Verde ditubuhkan pada bulan Julai. Dan Angola, di tengah perang saudara, telah diberikan kemerdekaan pada bulan November 1975.
Kemerdekaan dari Portugis (1975)
[sunting | sunting sumber]FRELIMO menguasai wilayah itu setelah sedekad peperangan sporadik, serta kembalinya Portugal menjadi sebuah negara demokrasi setelah kejatuhan rejim Estado Novo yang otoriter dalam Revolusi Bunga Teluki atau Carnation Revolution pada April 1974 dan rampasan kuasa yang gagal pada 25 November 1975. Dalam setahun, sebahagian besar daripada 250,000 orang Portugis di Musambiki telah meninggalkan negara itu — ada yang diusir oleh pemerintah wilayah yang hampir bebas, ada yang meninggalkan negara itu untuk mengelakkan kemungkinan tindakan balas dari pemerintah yang tidak stabil — dan Musambiki menjadi bebas daripada Portugal pada 25 Jun 1975. Undang-undang telah diluluskan atas inisiatif Armando Guebuza seorang ahli yang tidak berapa dikenali dari parti FRELIMO, mengarahkan orang Portugis yang tinggal di Musambiki untuk meninggalkan negara ini dalam masa 24 jam dengan membawa hanya 20 kilogram (44 paun) bagasi. Tidak dapat menyelamatkan sebarang aset mereka, kebanyakan mereka kembali ke Portugal sehelai sepinggang sahaja.
Perang Saudara sesama sekutu Soviet dan Amerika (1977-1992)
[sunting | sunting sumber]Perang Saudara Musambiki adalah konflik yang telah berlarutan selama 15 tahun iaitu antara 30 Mei 1977 dan 4 Oktober 1992 di Musambiki. Walaupun nampaknya seperti perang saudara dalaman, konflik itu sebenarnya adalah perang proksi antara Kesatuan Soviet yang menyokong pemerintah Musambiki dan Amerika Syarikat yang menyokong puak pemberontak. Perang itu berlaku dua tahun selepas Musambiki secara rasmi mencapai kemerdekaannya daripada Portugal. Perang utama adalah antara Front Pembebasan Mozambik (FRELIMO) yang dipimpin oleh Presiden Samora Machel yang menerajui pemerintahan pusat dan Penentangan Nasional Musambiki (RENAMO) yang dipimpin oleh André Matsangaissa. Dianggarkan satu juta orang telah terkprban dalam konflik ini yang pada tahun 1990 bagi negara di mana penduduknya ketika itu berjumlah 14 juta orang.
Latar belakang perang bermula pada tahun 1976 ketika pasukan dari Rhodesia yang dikuasai minoriti kulit putih memasuki Musambiki untuk menjalankan operasi menentang Tentera Pembebasan Nasional Afrika Zimbabwe (ZANLA) yang memiliki pangkalan di wilayah Musambiki. Rejim FRELIMO memberi perlindungan dan sokongan kepada gerakan penentang berbangsa kulit hitam di Afrika Selatan (Kongres Kebangsaan Afrika) dan Zimbabwe (Kesatuan Kebangsaan Afrika Zimbabwe), sementara kerajaan Rhodesia di bawah Ian Smith dan kemudiannya Afrika Selatan (pada ketika itu di bawah kerajaan minoriti kulit putih dan mengamalkan aparteid) menyokong RENAMO dalam perang saudara itu.[15] Pasukan Rhodesia membebaskan André Matsangaissa, bekas pegawai FRELIMO yang telah ditangkap dan dipenjarakan. Matsangaissa bergabung dengan RENAMO yang dibentuk pada tahun 1975 bertentangan dengan FRELIMO dan dengan cepat bangkit untuk menjadi pemimpinnya. Ketika Matsangaissa terbunuh pada tahun 1979 setelah serangan yang tidak berjaya dilancarkan di pusat wilayah Musambiki, Afonso Dhlakama menjadi pemimpin baharu RENAMO.
FRELIMO mempunyai pengaruh terkuat di bandar-bandar besar di Musambiki, sementara RENAMO pula beroperasi terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar. Ia meneruskan perjuangan menentang pemerintah pusat Musambiki bahkan setelah rejim minoriti kulit putih di Rhodesia digantikan oleh Robert Mugabe yang menamakan semula negara itu sebagai Zimbabwe. Mugabe dan pemerintahnya kini menyokong FRELIMO tetapi RENAMO mendapat sokongan daripada Kenya dan Afrika Selatan.
RENAMO melakukan serbuan di bandar-bandar dan kadang-kadang pekan yang lebih kecil. Untuk menambahkan bilangan tentera, ia merekrut orang awam ke dalam tenteranya - termasuk penjual kanak-kanak - setelah melakukan penculikan besar-besaran. RENAMO juga telah menerapkan sistem yang disebut Gamdira di mana penduduk kampung diminta untuk menghasilkan makanan, mengangkut barang dan peluru, dan wanita desa dipaksa menjadi hamba seks.
Ketika perang berlanjutan, kedua-dua pihak mula menggunakan taktik kejam termasuk menggunakan periuk api. RENAMO bagaimanapun berusaha menghentikan ekonomi dan menghancurkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan pusat dengan meletakkan periuk api di beberapa jalan raya, sekolah, dan pusat kesihatan.
Perang berlanjutan hingga 1980-an dengan FRELIMO kehilangan sebahagian besar wilayah Musambiki walaupun tetap mengawal di kawasan bandar. FRELIMO mendapat sokongan dan bantuan daripada Kesatuan Soviet, Perancis, dan Britain, sementara RENAMO mendapat bantuan daripada Afrika Selatan, Kenya, dan secara senyap-senyap daripada Amerika Syarikat. Pada awal tahun 80-an Presiden Samora Machel dan FRELIMO telah melancarkan inisiatif diplomatik. Machel melawat Perdana Menteri Britain iaitu Margaret Thatcher dan kemudiannya berjumpa Presiden A.S. Ronald Reagan. Reagan kagum dengan kewibawaan Machel dan kemudiannya mengarahkan Amerika Syarikat untuk menentang usaha sayap kanan dalam Afrika Selatan untuk menggulingkan pemimpin Musambiki. Hasil daripada perjumpaan itu satu perjanjian telah ditandatangani antara kerajaan Musambiki dengan kerajaan kulit putih Afrika Selatan yang dikenali sebagai Perjanjian Nkomati pada tahun 1984. Machel berjanji untuk mengusir militan ANC dari Musambiki, dan Afrika Selatan berjanji untuk menghentikan persenjataan, latihan, dan pembiayaan kepada RENAMO dan menjejaskan kestabilan Musambiki. Pada masa yang sama, Amerika Syarikat telah menarik balik larangannya terhadap bantuan dua hala untuk membantu Machel, dan ini membolehkan kerajaan Machel menjadualkan semula hutang Musambiki. Ini sedikit sebanyak membantu pihak FRELIMO untuk meningkatkan ekonomi negara dan membendung tentangan daripada pihak RENAMO.
Pada 19 Oktober 1986, Presiden Samora Machel dan hampir separuh ahli kabinetnya telah terkorban selepas pesawatnya terhempas berhampiran sempadan Musambiki dengan Afrika Selatan. Tidak jelas bagaimana dan mengapa pesawat itu terhempas atau adakah RENAMO atau Afrika Selatan terlibat dalam kemalangan misteri tersebut. Joaquim Chissano telah menggantikan Machel sebagai presiden negara di mana, kerana konflik selama sembilan tahun, ratusan ribu orang Musambiki mati akibat kebuluran yang disebabkan oleh FRELIMO dan RENAMO.
Menjelang tahun 1990, kedua-dua pihak masih berperang sesama sendiri. Namun, perkembangan di luar Musambiki akan segera menghentikan konflik ini. Menjelang tahun 1990 Afrika Selatan bergerak menuju negara yang dikuasai majoriti kulit hitam, manakala setahun kemudian Kesatuan Soviet pula telah tumbang. Kedua-dua parti iaitu FRELIMO dan RENAMO telah kehilangan penyokong dan pembekal senjata mereka yang utama. Pada tahun 1990, Musambiki menerima perlembagaan baharu yang merangkumi pemilihan pelbagai parti. Pada tahun 1992, perjanjian damai ditandatangani di Rom, Itali yang membolehkan pasukan pengaman PBB memasuki negara itu. Kehadiran mereka dengan berkesan menamatkan perang. Pada tahun 1994, pilihan raya bebas pertama diadakan di negara ini. Walaupun FRELIMO memperoleh majoriti, sebahagian penduduk memilih calon RENAMO. Persaingan politik berterusan tetapi konflik ketenteraan sudah berakhir.
Era Demokratik (1993- kini)
[sunting | sunting sumber]Musambiki mengadakan pilihan raya pada tahun 1994, yang diterima oleh kebanyakan parti politik sebagai bebas dan adil walaupun masih dipertikaikan oleh ramai rakyat dan pemerhati. FRELIMO menang, di bawah Joaquim Chissano, manakala RENAMO, diketuai oleh Afonso Dhlakama, bertanding sebagai parti pembangkang rasmi.
Pada tahun 1995, Musambiki menyertai Komanwel, menjadi, pada masa itu, satu-satunya negara anggota yang tidak pernah menjadi sebahagian daripada Empayar British.
Menjelang pertengahan 1995, lebih 1.7 juta pelarian yang telah mencari suaka di negara jiran telah kembali ke Musambiki, sebahagian daripada penghantaran pulang terbesar yang disaksikan di sub-Sahara Afrika. Tambahan empat juta orang pelarian dalaman telah kembali ke rumah mereka.
Pada Disember 1999, Musambiki mengadakan pilihan raya untuk kali kedua sejak perang saudara, yang sekali lagi dimenangi oleh FRELIMO. RENAMO menuduh FRELIMO melakukan penipuan, dan mengancam untuk meneruskan perang saudara semula, tetapi menarik balik ancaman selepas membawa perkara itu ke Mahkamah Agung Musambiki dan tewas.
Pada awal tahun 2000, taufan Idai menyebabkan banjir yang meluas di negara ini, membunuh beratus-ratus penduduknya dan memusnahkan infrastruktur yang sudah tidak menentu. Terdapat syak wasangka yang meluas bahawa sumber bantuan asing telah dialihkan oleh pemimpin berkuasa FRELIMO. Carlos Cardoso, seorang wartawan yang menyiasat dakwaan ini, telah dibunuh, dan kematiannya tidak pernah dijelaskan dengan memuaskan.
Sambil memberi indikasi pada tahun 2001 bahawa dia tidak akan bertanding untuk penggal ketiga, Chissano mengkritik pemimpin yang kekal lebih lama daripada dia, yang secara umumnya dilihat sebagai rujukan kepada presiden Zambia Frederick Chiluba, yang pada masa itu sedang mempertimbangkan penggal ketiga, dan presiden Zimbabwe Robert Mugabe, kemudian dalam penggal keempatnya. Pilihan raya Presiden dan Dewan Negara berlangsung pada 1–2 Disember 2004. Calon FRELIMO Armando Guebuza menang dengan 64% undi popular, manakala lawannya, Afonso Dhlakama dari RENAMO, menerima 32% undi popular. FRELIMO memenangi 160 kerusi di Parlimen, dengan gabungan RENAMO dan beberapa parti kecil memenangi 90 kerusi yang tinggal. Guebuza telah dilantik sebagai Presiden Musambiki pada 2 Februari 2005, dan berkhidmat selama dua penggal lima tahun. Penggantinya, Filipe Nyusi, telah menjadi Presiden Musambiki keempat pada 15 Januari 2015.
Dari 2013 hingga 2019, pemberontakan berintensiti rendah oleh RENAMO berlaku, terutamanya di wilayah tengah dan utara negara. Pada 5 September 2014, bekas presiden Guebuza dan pemimpin RENAMO Dhlakama menandatangani Perjanjian Penghentian Permusuhan, yang menghentikan permusuhan tentera dan membenarkan kedua-dua parti menumpukan perhatian kepada pilihan raya umum yang akan diadakan pada Oktober 2014. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum, krisis politik baru muncul. RENAMO tidak mengiktiraf kesahihan keputusan pilihan raya dan menuntut kawalan enam wilayah – Nampula, Niassa, Tete, Zambezia, Sofala, dan Manica – di mana mereka mendakwa telah memenangi majoriti. Kira-kira 12,000 pelarian kini berada di negara jiran Malawi. UNHCR, Doctors Without Borders, dan Human Rights Watch melaporkan bahawa tentera kerajaan telah membakar kampung dan melaksanakan pembunuhan orang ramai dan penderaan seksual.
Pada Oktober 2019, Presiden Filipe Nyusi telah dipilih semula selepas kemenangan besar dalam pilihan raya umum. FRELIMO memenangi 184 kerusi, RENAMO mendapat 60 kerusi dan parti MDM menerima baki enam kerusi dalam Dewan Negara. Pembangkang tidak menerima keputusan kerana dakwaan penipuan dan penyelewengan. FRELIMO memperoleh majoriti dua pertiga di parlimen yang membenarkan FRELIMO menyesuaikan semula perlembagaan tanpa memerlukan persetujuan pembangkang.[58]
Sejak 2017, negara telah menghadapi pemberontakan berterusan oleh kumpulan Islam. Pada September 2020, pemberontak ISIL menawan dan menduduki Pulau Vamizi di Lautan Hindi secara ringkas. Pada Mac 2021, berpuluh-puluh orang awam terbunuh dan 35,000 yang lain kehilangan tempat tinggal selepas pemberontak Islamis merampas bandar Palma. Pada Disember 2021, hampir 4,000 orang Musambiki melarikan diri dari kampung mereka pada bulan itu, berikutan peningkatan serangan jihad di Niassa.
Politik
[sunting | sunting sumber]Musambiki ialah demokrasi berbilang parti di bawah perlembagaan 1990. Cawangan eksekutif terdiri daripada Presiden, Perdana Menteri, dan Majlis Menteri. Terdapat Dewan Negara dan majlis perbandaran. Badan kehakiman terdiri daripada Mahkamah Agung dan mahkamah wilayah, daerah dan perbandaran. Hak pilih adalah universal pada usia lapan belas. Dalam pilihan raya 1994, Joaquim Chissano telah dipilih sebagai presiden dengan 53% undi, dan 250 ahli Dewan Negara telah diundi dengan 129 timbalan Barisan Pembebasan Musambiki (FRELIMO), 112 timbalan Penentangan Kebangsaan Musambiki (RENAMO) dan sembilan wakil. daripada tiga parti yang lebih kecil yang membentuk Kesatuan Demokratik (UD). Sejak penubuhannya pada tahun 1994, Dewan Negara telah mencapai kemajuan dalam menjadi sebuah badan yang semakin bebas daripada eksekutif. Menjelang tahun 1999, lebih separuh (53%) daripada undang-undang yang diluluskan berasal dari Perhimpunan.
Pada Ogos 2019, Presiden Musambiki Filipe Nyusi dan ketua parti Renamo iaitu parti pembangkang utama negara, Ossufo Momade, menandatangani perjanjian damai baharu Perjanjian Maputo atau Maputo Accord yang berjanji untuk menamatkan keganasan selama bertahun-tahun dan membuka laluan kepada pilihan raya pada Oktober [16]. Namun meskipun perjanjian itu ditandatangani, kempen pilihan raya terus dicemari oleh keganasan politik yang menyasarkan terutamanya penyokong pembangkang. Switzerland memainkan peranan penting dalam pembrokeran perjanjian damai Musambiki pada Ogos 2019, dengan diplomat Switzerland memainkan peranan utama sebagai pengantara. Pada bulan Ogos, pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika memuji amnesti yang ditandatangani pada bulan itu sebagai peristiwa penting dalam menamatkan konflik di Musambiki.
Dasar Luar Negara
[sunting | sunting sumber]Walaupun kesetiaan kepada blok komunis sejak perjuangan pembebasan negara masih relevan, dasar luar Musambiki telah menjadi semakin pragmatik. Tonggak berkembar dasar luar Musambiki ialah pengekalan hubungan baik dengan jirannya dan pengekalan serta pengembangan hubungan dengan rakan kongsi pembangunan.
Semasa 1970-an dan awal 1980-an, dasar luar Musambiki berkait rapat dengan perebutan kekuasaan majoriti di Rhodesia dan Afrika Selatan serta persaingan kuasa besar dan Perang Dingin. Keputusan Musambiki untuk menguatkuasakan sekatan PBB terhadap Rhodesia dan menafikan akses negara ke laut menyebabkan kerajaan Ian Smith menentang negara itu sama ada secara terang-terangan atau tersembunyi. Walaupun pertukaran kerajaan di Zimbabwe pada tahun 1980 menghapuskan ancaman ini, kerajaan Afrika Selatan yang pro-aparteid ketika itu terus menggugat kestabilan Musambiki.
Perjanjian Nkomati 1984, walaupun gagal dalam matlamatnya untuk menamatkan sokongan Afrika Selatan kepada RENAMO, telah berjaya membuka hubungan diplomatik awal antara kerajaan Musambiki dengan Afrika Selatan. Proses ini mendapat momentum dengan penghapusan sistem aparteid oleh Afrika Selatan, yang memuncak dengan penubuhan hubungan diplomatik penuh pada Oktober 1993. Walaupun hubungan dengan negara jiran seperti Zimbabwe, Malawi, Zambia dan Tanzania kadang kala menunjukkan ketegangan, hubungan Musambiki dengan negara-negara tersebut tetap kukuh.
Pada tahun-tahun sejurus selepas kemerdekaannya, Musambiki mendapat manfaat daripada bantuan yang besar daripada beberapa negara Barat, terutamanya daripada rantau Scandinavia. Kesatuan Soviet dan sekutunya menjadi penyokong ekonomi, ketenteraan dan politik utama Musambiki, dan dasar luarnya mencerminkan hubungan ini. Ini mula berubah pada tahun 1983; pada tahun 1984 apabila Musambiki menyertai Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa. Bantuan Barat oleh negara-negara Scandinavia di Sweden, Norway, Denmark dan Iceland dengan cepat mengambil alih sokongan daripada Soviet. Finland dan Belanda menjadi sumber bantuan pembangunan yang semakin penting. Itali juga mengekalkan profil di Musambiki hasil daripada peranan utamanya semasa proses damai. Hubungan dengan Portugal, bekas kuasa kolonial, terus menjadi penting kerana pelabur Portugis memainkan peranan yang nyata dalam ekonomi Musambiki.
Tentera
[sunting | sunting sumber]Musambiki merupakan sebuah negara yang mempunyai pertahanan yang agak lemah, dan berada di tangga 114 daripada 140 negara dari segi kekuatan militari dunia.[17] Angkatan Bersenjata Musambiki (Bahasa Portugis: Forças Armadas de Defesa de Moçambique) atau FADM ialah angkatan tentera negara Musambiki dan telah ditubuhkan pada pertengahan Ogos 1994. Mereka termasuk Kakitangan Am Angkatan Tentera dan tiga cabang perkhidmatan: Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut.
Organisasi Antarabangsa
[sunting | sunting sumber]Musambiki adalah ahli kepada beberapa organisasi antarabangsa, antaranya:
Geografi
[sunting | sunting sumber]Wilayah
[sunting | sunting sumber]Musambiki ialah negara ke-36 terbesar di dunia. Saiznya setanding dengan Turki. Musambiki terletak di pantai tenggara Afrika. Ia bersempadan dengan Eswatini ke selatan, Afrika Selatan ke barat daya, Zimbabwe ke barat, Zambia dan Malawi ke barat laut, Tanzania ke utara dan Lautan Hindi di sebelah timur. Musambiki terletak di antara latitud 10° dan 27°S, dan longitud 30° dan 41°B.
Negara ini dibahagikan kepada dua kawasan topografi oleh Sungai Zambezi. Di utara Sungai Zambezi, jalur pantai yang sempit memberi laluan kepada bukit-bukit pedalaman dan dataran rendah. Tanah tinggi berceranggah terletak lebih jauh ke barat; ia termasuk tanah tinggi Niassa, Namuli atau tanah tinggi Shire, tanah tinggi Angonia, Tete tanah tinggi dan dataran tinggi Makonde, dilitupi hutan Miombo. Di selatan Sungai Zambezi, tanah pamah lebih luas dengan dataran tinggi Mashonaland dan Gunung Lebombo terletak di selatan yang dalam.
Negara ini dialirkan oleh lima sungai utama dan beberapa sungai yang lebih kecil dengan Zambezi yang terbesar dan paling penting. Negara ini mempunyai empat tasik yang terkenal: Tasik Niassa (atau Malawi), Tasik Chiuta, Tasik Cahora Bassa dan Tasik Shirwa, semuanya di utara. Bandar utama ialah Maputo, Beira, Nampula, Tete, Quelimane, Chimoio, Pemba, Inhambane, Xai-Xai dan Lichinga.
Musambiki dibahagikan kepada sepuluh provinsi (provincias) dan satu provinsi bertaraf ibu negara (cidade capital). Provinsi itu pula terbahagi kepada 129 daerah (distritos). Daerah itu pula dibahagikan kepada 405 "pos pentadbiran" dan kemudiannya kepada lokaliti, iaitu peringkat geografi terendah dalam pusat pentadbiran negeri.
Berikut ialah senarai 10 bandar raya dengan penduduk paling ramai di negara ini menurut banci 2017: [18]
Taraf | Bandar Raya | Bil. Penduduk |
---|---|---|
1. | Maputo, Maputo | 1,080,277 |
2. | Matola, Maputo | 1,032,197 |
3. | Nampula, Nampula | 663,212 |
4. | Beira, Sofala | 592,090 |
5. | Chimoio, Manica | 363,336 |
6. | Tete, Tete | 307,338 |
7. | Quelimane, Zambezia | 246,915 |
8. | Lichinga, Niassa | 242,204 |
9. | Mocumba, Zambezia | 240,000 |
10. | Nacala, Nampula | 225,034 |
Iklim
[sunting | sunting sumber]Musambiki mempunyai iklim tropika hingga subtropika dan mengalami dua musim: musim sejuk dan kering dari April hingga September dan musim panas dan lembap antara Oktober dan Mac. Suhu adalah lebih panas berhampiran pantai dan kawasan tanah rendah di selatan berbanding dengan kawasan pedalaman yang lebih tinggi.
Ekonomi
[sunting | sunting sumber]Musambiki adalah salah satu negara termiskin dan paling kurang membangun di dunia, walaupun antara 1994 dan 2006 purata pertumbuhan KDNK tahunannya adalah kira-kira 8%. IMF mengklasifikasikan Musambiki sebagai Negara Miskin Banyak Berhutang. Dalam tinjauan 2006, tiga perempat daripada penduduk Musambiki berkata dalam tempoh lima tahun yang lalu kedudukan ekonomi mereka sama ada kekal sama atau menjadi lebih teruk.[19]
Mata wang rasmi Musambiki ialah Metical Baharu (sehingga Mac 2018, AS$1 adalah kira-kira bersamaan dengan 62 Metical Baharu), yang menggantikan Metical lama pada kadar seribu berbanding satu. Mata wang lama boleh ditebus di Bank of Musambiki sehingga akhir tahun 2012. US$, rand Afrika Selatan, dan baru-baru ini Euro juga diterima secara meluas dan digunakan dalam urus niaga perniagaan. Gaji sah minimum adalah sekitar AS$60 sebulan. Musambiki ialah ahli Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC).[20] Protokol perdagangan bebas SADC bertujuan menjadikan wilayah Afrika Selatan lebih berdaya saing dengan menghapuskan tarif dan halangan perdagangan lain. Bank Dunia pada tahun 2007 bercakap tentang 'kelajuan pertumbuhan ekonomi' Musambiki yang 'pesat'. Kajian bersama penderma-kerajaan pada awal 2007 berkata 'Musambiki secara amnya dianggap sebagai kisah kejayaan bantuan.'
Demografi
[sunting | sunting sumber]Wilayah utara-tengah Zambezia dan Nampula adalah yang paling ramai penduduknya, dengan kira-kira 45% daripada populasi. Dianggarkan empat juta Macua adalah kumpulan dominan di bahagian utara negara itu; Sena dan Shona (kebanyakannya Ndau) menonjol di lembah Zambezi, dan orang Tsonga dan Shangaan mendominasi selatan Musambiki. Kumpulan lain termasuk Makonde, Yao, Swahili, Tonga, Chopi dan Nguni (termasuk Zulu). Orang Bantu merangkumi 97.8% daripada populasi, dengan selebihnya terdiri daripada keturunan Portugis, Euro-Afrika (orang Mestico keturunan Bantu dan Portugis campuran), dan India. Kira-kira 45,000 orang berketurunan India menetap di Musambiki.
Semasa pemerintahan penjajah Portugis, sebilangan besar minoriti orang keturunan Portugis tinggal secara kekal di hampir semua kawasan di negara itu, dan orang Musambiki dengan warisan Portugis pada masa kemerdekaan berjumlah kira-kira 360,000 orang. Kebanyakan mereka meninggalkan negara ini selepas kemerdekaan daripada Portugal pada tahun 1975. Terdapat pelbagai anggaran untuk saiz komuniti Cina Musambiki, antara 7,000 hingga 12,000 pada 2007.
Menurut tinjauan 2011, jumlah kadar kesuburan ialah 5.9 kanak-kanak bagi setiap wanita, dengan 6.6 di kawasan luar bandar dan 4.5 di kawasan bandar.
Bahasa
[sunting | sunting sumber]Bahasa Portugis ialah bahasa rasmi dan paling banyak digunakan di negara ini, dituturkan oleh 50.3% penduduk. Bahasa kumpulan Bantu di Musambiki yang berasal dari negara ini sangat berbeza dalam kumpulan mereka dan dalam beberapa kes agak kurang dihargai dan didokumenkan. Selain daripada penggunaan lingua franca di utara negara itu, bahasa Swahili dituturkan di kawasan kecil pantai bersebelahan sempadan Tanzania; selatan ini, ke arah Pulau Musambiki, Kimwani, yang dianggap sebagai dialek Swahili, digunakan. Sejurus ke pedalaman kawasan Swahili, Makonde digunakan, dipisahkan lebih jauh ke pedalaman oleh jalur kecil wilayah berbahasa Makhuwa dari kawasan di mana Yao atau ChiYao digunakan. Makonde dan Yao tergolong dalam kumpulan yang berbeza, Yao sangat dekat dengan bahasa Mwera di kawasan Rondo Plateau di Tanzania.
Kawasan berbahasa Shona yang besar menjangkau antara sempadan Zimbabwe dan laut: ini dahulunya dikenali sebagai varieti Ndau tetapi kini menggunakan ortografi Shona Standard Zimbabwe. Nampaknya sama dengan Shona, tetapi tidak mempunyai corak nada bahasa Shona, dan dianggap oleh penuturnya sebagai agak berasingan, CiBalke, juga dipanggil Rue atau Barwe, digunakan di kawasan kecil berhampiran sempadan Zimbabwe.
Selatan kawasan ini adalah bahasa kumpulan Tsonga, yang agak berbeza sekali lagi. XiTswa atau Tswa berlaku di pantai dan pedalaman, XiTsonga atau Tsonga melintasi kawasan sekitar Sungai Limpopo, termasuk dialek tempatan seperti XiHlanganu, XiN'walungu, XiBila, XiHlengwe dan XiDzonga. Kawasan bahasa ini meluas ke negara jiran Afrika Selatan. Masih berkaitan dengan ini, tetapi berbeza, ialah GiTonga, BiTonga, dan CiCopi atau Chopi, yang dituturkan di utara muara Limpopo, dan XiRonga atau Ronga, yang dituturkan di kawasan terdekat di sekitar Maputo. Bahasa-bahasa dalam kumpulan ini, berdasarkan perbendaharaan kata pendek, sangat samar-samar dengan bahasa Zulu, tetapi jelas bukan dalam kumpulan terdekat yang sama. Terdapat kawasan kecil berbahasa Swazi dan Zulu di Musambiki bersebelahan dengan sempadan Swaziland dan KwaZulu-Natal.
Orang Arab, Cina dan India terutamanya bertutur dalam bahasa Portugis dan beberapa bahasa Hindi. Orang India dari Portugis India bercakap mana-mana bahasa Kreol Portugis asal mereka selain daripada bahasa Portugis sebagai bahasa kedua mereka.
Catatan
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "National Profiles". Association of Religion Data Archives.
- ^ Neto, Octávio Amorim; Lobo, Marina Costa (2010). "Between Constitutional Diffusion and Local Politics: Semi-Presidentialism in Portuguese-Speaking Countries". Social Science Research Network. SSRN 1644026. Cite journal requires
|journal=
(bantuan) - ^ Shugart, Matthew Søberg (September 2005). "Semi-Presidential Systems: Dual Executive and Mixed Authority Patterns" (PDF). Graduate School of International Relations and Pacific Studies. United States: University of California, San Diego. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 19 August 2008. Dicapai pada 20 August 2016.
- ^ Shugart, Matthew Søberg (December 2005). "Semi-Presidential Systems: Dual Executive And Mixed Authority Patterns" (PDF). French Politics. 3 (3): 323–351. doi:10.1057/palgrave.fp.8200087. S2CID 73642272. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 4 March 2016.
Of the contemporary cases, only four provide the assembly majority an unrestricted right to vote no confidence, and of these, only two allow the president unrestricted authority to appoint the prime minister. These two, Mozambique and Namibia, as well as the Weimar Republic, thus resemble most closely the structure of authority depicted in the right panel of Figure 3, whereby the dual accountability of the cabinet to both the president and the assembly is maximized.
- ^ "Mozambique Population (2024) - Worldometer".
- ^ a b c d "World Economic Outlook Database, October 2023 Edition. (Mozambique)". IMF.org. International Monetary Fund. 10 October 2023. Dicapai pada 16 October 2023.
- ^ "Gini Index". World Bank. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 December 2015. Dicapai pada 30 September 2022.
- ^ Human Development Report 2021/2022 (PDF) (Laporan) (dalam bahasa Inggeris). United Nations Development Programme. 8 September 2022. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada March 13, 2024. Dicapai pada 30 September 2022.
- ^ [https:// pickvisa.com/blog/10-most-unusual-flags-in-the-world-and-their-secrets "Flag of Mozambique"] Check
|url=
value (bantuan). pickvisa.com. - ^ Mozambique Natural Gas. worldometers.info
- ^ [https:www.bharian.com.my/dunia/afrika/2020/08/720749/daesh-ambil-alih-pelabuhan-utama-mozambique "Daesh ambil alih pelabuhan utama Mozambique"] Check
|url=
value (bantuan). BH Online. - ^ History. ilhademo.net
- ^ "LNG in Mozambique: The Future of a Country". clubofmozambique.com.
- ^ Lander, Faye; Russell, Thembi (2018). "The archaeological evidence for the appearance of pastoralism and farming in southern Africa". PLOS ONE (dalam bahasa Inggeris). 13 (6): e0198941. Bibcode:2018PLoSO..1398941L. doi:10.1371/journal.pone.0198941. PMC 6002040. PMID 29902271.
- ^ a b "Mozambique (07/02)". U.S. Bilateral Relations Fact Sheets/Background Notes. U.S. Department of State. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 July 2018. Dicapai pada 1 July 2018. Rencana ini mengandungi teks dari sumber yang berada dalam domain awam.
- ^ "Welcoming Signing of Peace Agreement in Mozambique, Secretary-General Applauds Commitment on Both Sides to Finalizing Peace Process | Meetings Coverage and Press Releases". www.un.org. Dicapai pada 2021-05-26.
- ^ Mozambique military strength. GlobalFirepower.com
- ^ "Mozambique". citypopulation.de. Dicapai pada 19 August 2021.
- ^ Hanlon, Joseph (19 September 2007). Adakah Kemiskinan Berkurang di Mozambique? ://www.iese.ac.mz/lib/publication/Hanlon,Joseph_Poverty.pdf Diarkibkan 4 November 2013 di Wayback Machine. Open University, England.
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaBilateralRelationsFactSheet3
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Media berkenaan Mozambique di Wikimedia Commons
- Rencana untuk dikembangkan dari April 2024
- Rencana yang mengandungi teks bahasa Chichewa
- Rencana yang mengandungi teks bahasa Swahili (bahasa makro)
- Rencana yang mengandungi teks bahasa Tsonga
- Tunas geografi
- Rencana dengan pengenalan kawasan MusicBrainz
- Rencana dengan pengenalan UKPARL
- Mozambique
- Negara dan wilayah berbahasa Portugis
- Republik
- Bekas jajahan Portugis
- Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam