Muzik Indonesia
Terdapat banyak jenis muzik Indonesia, baik tradisional mahupun moden. Boleh dikatakan hampir semua 18,000 pulaunya mempunyai budaya tersendiri; yang menghasilkan pelbagai jenis bentuk muzik, yang mengiringi tarian dan teater. Muzik tradisional Indonesia termasuklah gamelan dan keroncong yang dikenali oleh hampir semua rakyat Indonesia, manakala muzik moden yang paling berpengaruh ialah dangdut.
Dangdut merupakan gabungan muzik Melayu, India, dan muzik tradisional Indonesia. Muzik ini dipanggil "dangdut" kerana muziknya bergema dengan bunyi 'dang' dan 'dut' serta kerana muzik dangdut lebih dikuasai oleh bunyi gendang dan seruling. Lagu-lagu dangdut biasanya didendangkan oleh pedangdut dengan goyangannya yang seronok dan lemah gemalai sesuai dengan kepantasan lagu. Ada pelbagai jenis corak muzik dangdut, antaranya:
- Dangdut Melayu
- Dangdut Moden (dangdut kini yang alat muziknya telah ditambah dengan alat muzik moden)
- Dangdut Pesisir (lagu dangdut tradisional Jawa, Sunda dll).