Pergi ke kandungan

Portal:Binatang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Selamat Datang ke Portal Binatang
سلامت داتڠ کڤورتل بيناتڠ
Kepelbagaian jenis binatang
Kepelbagaian jenis binatang

Binatang atau haiwan ialah organisma eukariot multisel di dalam alam biologi Animalia. Dengan beberapa pengecualian, binatang mengambil bahan organik, menghirup oksigen, berupaya untuk bergerak, boleh membiak secara seksual dan melalui peringkat ontogenetik di mana badan mereka terdiri daripada sel sfera yang berongga, blastula semasa perkembangan embrio. Lebih daripada 1.5 juta spesies binatang hidup telah diterangkan—yang mana sekitar 1 juta adalah serangga—tetapi dianggarkan terdapat lebih daripada 7 juta spesies haiwan secara keseluruhannya. Binatang mempunyai julat panjang dari 8.5 mikrometer (0.00033 in) hingga 33.6 meter (110 ka). Mereka juga mempunyai saling tindak yang kompleks di antara satu sama lain dan persekitaran mereka, serta membentuk siratan makanan. Kajian saintifik mengenai binatang dikenali sebagai zoologi.

Kebanyakan spesies binatang hidup berada dalam Bilateria, suatu klad di mana makhluk tersebut mempunyai pelan tubuh badan bersimetri secara dwisisi. Bilateria termasuklah protostomia dan deuterostomia. Di dalam protostomia terdapat haiwan-haiwan seperti nematod (cacing gelang), artropod, platyhelminthes (cacing pipih), anelid dan moluska, manakala deuterostomia pula mencakupi ekinoderma dan kordata (termasuklah vertebrat). Bentuk hidupan yang ditafsirkan sebagai binatang purba terdapat dalam biota Ediakara yang wujud pada zaman Prakambria akhir. Filum binatang moden terbentuk jelas dalam rekod fosil sebagai spesies laut semasa letupan Kambria, yang mula berlaku sekitar 539 juta tahun lalu. 6,331 kumpulan gen yang terdapat pada semua haiwan hidup telah dikenal pasti; ini mungkin timbul daripada nenek moyang tunggal yang hidup 650 juta tahun dahulu.

Rencana pilihan
Orang utan memakan kelapa matang di Hutan Simpan Semenggok
Orang utan memakan kelapa matang di Hutan Simpan Semenggok

Orang utan merupakan tiga spesis mawas ekstan yang berasal dari Malaysia dan Indonesia. Orang utan kini terdapat di hutan hujan Borneo dan Sumatera. Tergolong dalam genus Pongo, orang utan pada mulanya satu spesies. Sejak tahun 1996, ia terbahagi kepada dua spesies, iaitu orang utan Borneo (P. pygmaeus, dengan 3 subspesies) dan orang utan Sumatera (P. abelii). Pada November 2017 dilaporkan bahawa spesies ketiga orang utan telah dikenal pasti, iaitu orang utan Tapanuli (P. tapanuliensis).

Binatang ini banyak dikaji untuk kemampuan belajar, malah mungkin dapat membentuk budaya tersendiri dalam populasi. Kajian lapangan terhadap orang utan dimulakan oleh ahli primatologi Birutė Galdikas. Ketiga-tiga spesies orang utan dikira sebagai spesies terancam genting. Antara ancaman terhadap populasi orang utan liar termasuklah pemburuan haram, kemusnahan habitat dan perdagangan haram haiwan peliharaan. (Rencana penuh...)
Gambar pilihan
Angsa Kanada

Angsa Kanada (Branta canadensis) ialah satu spesies angsa liar bersaiz besar yang berasal dari kawasan Amerika Utara. Kadangkala ia bermigrasi sehingga ke utara Eropah. Seperti kebanyakan angsa-angsa lain, angsa Kanada tergolong sebagai haiwan herbivor dan selalunya berhijrah; ia boleh ditemui di kawasan berdekatan dengan air tawar.

(Gambar asal: Alan D. Wilson; Diubah suai: Diliff)

Kategori