Pulau Tenggol
Pulau Tenggol (Tulisan Jawi:ڤولاو تيڠڬول ) terletak di luar pantai negeri Terengganu, Malaysia. Lokasinya di perairan Laut China Selatan dan terdedah kepada tiupan Angin Monsun Timur Laut yang kencang khususnya antara bulan Oktober - Januari setiap tahun.
Pulau Tenggol menyediakan 20 tempat menyelam yang cantik dan menarik. Diantaranya Teluk Air Tawar tempat terbaik untuk melihat penyu. Batu Tokong Laut pula turut menarik bagi melihat ikan selar berkumpulan dan beberapa jenis batu karang pelantar laut dalam.
Jika anda bernasib baik, diantara bulan Julai dan September anda berpeluag melihat kehadiran Yu paus yang besar dan cantik memakan plankton dan udang kecil di sekitar pulau ini.
Aktiviti
[sunting | sunting sumber]Keindahan pulau ini menjadi tarikan pelancong untuk aktiviti selam skuba bagi menjejaki khazanah terumbu karang dan mengamati bangkai-bangkai kapal karam.
Skuba dan snorkeling juga antara aktiviti utama di sini. Menyaksikan sendiri dengan mata kasar hidupan laut adalah pengalaman yang tidak dapat di lupakan. Antara hidupan laut yang boleh dilihat di sini ialah terumbu karang lembut, nudibrankia, rumpai laut, batfish, penyu laut, becok Napoleon Wrash, ikan badut dan yu paus.
Bot
[sunting | sunting sumber]Sebarang aktiviti yang dilaksanakan sepanjang percutian di pulau ini mesti dirancang dengan awal. Terdapat banyak perkhidmatan bot laju untuk tujuan “day-trip diving” disedikan.
Pelancong yang ingin ke Pulau Tenggol dinasihatkan untuk menggunakan jeti bot ekspres baru yang terletak di tepi jambatan Kuala Dungun.
Kadar sewaan bot laju ialah lebih kurang RM600-RM650 sehari. Kos ini boleh dikongsi beramai-ramai, kerana satu bot laju boleh memuatkan antara 6-10 orang penumpang dalam satu-satu masa. Kadar sewaan ini termasuk bot, petrol, pemandu bot dan pek makan tengahari . Namun begitu pakej aktiviti skuba, snorkeling dan peralatan berkenaan dengannya serta chalet penginapan tidak termasuk pada harga tersebut.
Penginapan
[sunting | sunting sumber]Terdapat banyak resort dan chalet kecil dibina di pulau ini. Namun resort-resort di Pulau tenggol tidak sebanyak resort yang terdapat di Pulau Perhentian atau di Pulau Kapas. Tenggol Island Resort (nama lama ialah Tenggol Aqua Resort) yang terletak di Telok Air Tawar merupakan resort yang terkenal dan sering menjadi pilihan di Pulau Tenggol. Ia terdiri dari chalet-chalet kayu berlatar belakang hutan tropika. Jika pelancong tidak mahu menetap di pulau, mereka juga boleh memilih menetap di bandar Dungun, terdapat beberapa hotel murah dan sederhana seperti Hotel Sura, Hotel UiTM dan rumah tumpangan Cina, kadar sewaan semalam kurang dari RM100 sebilik. Pelancong juga boleh membuat khemah di pulau ini jika mahu, namun amat disarankan untuk menjaga kebersihan pulau.
Pengangkutan
[sunting | sunting sumber]Untuk pergi ke Pulau Tenggol, pelancong harus menyewa bot laju untuk sampai ke Pulau Tenggol dari jeti Kuala Dungun. Untuk tujuan skuba, kadar sewaan bot adalah sekitar RM600-650 untuk sebuah bot sehari (maksimum 6 orang). Kadar lebih murah untuk ke resort. Anda perlu berunding dengan pihak resort supaya bayaran masuk-keluar bot (boat transfer fee) dimasukkan sekali ke dalam pakej anda, Pastikan ia perjalanan 2-hala (return trip). Perjalanan mengambil masa 40 minit dengan bot laju (2 jam dengan bot nelayan biasa).
Bagi perjalanan darat ke Kuala Dungun, misalnya dari Kuala Lumpur atau Shah Alam, perkhidmatan bas ekspress adalah pilihan terbaik kerana terminal bas Kuala Dungun ke jeti tidak terlalu jauh, lebih kurang 2 km dengan merentasi jambatan baru Kuala Dungun.
Pelancong dinasihatkan untuk mengelakkan datang ke sini dari bulan November hingga Mac kerana musim tengkujuh yang melanda pantai timur. Di waktu ini tiada aktiviti sukan air dan sesetengah resort mungkin ditutup.